Wednesday, May 20, 2009

KEMBARA UMRAH


Bila membaca blog-blog mengenai umrah, teringat kembali perjalanan bersama ibubapa dan adik-adik (auntida dan sleepyhead) ke tanah suci setahun yang lalu pada 22 Mei 2008. Penerbangan terus KL-Madinah memudahkan urusan logistic kerana membawa Mak yang berkerusi roda. Catatan lepas di sini.Walau tempohnya pendek, tidak seperti ibadah haji, pasti ada cabaran dan ujian yang menanti. Kita akan melangkah ke benua yang berbeza suasana dan budaya. Bertemu dengan berbagai ragam dan rupa manusia yang hadir di satu tempat yang sama demi mendapat keredhaan Allah dan demi memperolehi nikmat iman dan Islam. Persepsi, pengalaman dan emosi setiap tetamu Allah tentu sahaja berbeza.

Kembara ibadah kami seramai 41 orang membawa pelbagai cerita. Ada yang menarik dan ada yang tidak. Tetapi tiada yang pelik seperti yang pernah diceritakan oleh ustaz-ustaz dan tetamu Allah yang terdahulu. Tentu sahaja perjalanan ibadah umrah yang yang hampir 2 minggu ini tidak lengkap sekiranya tidak diselang seli dengan cabaran, ujian dan pengajaran agar kita semua menjadi muslim dan muslimah yang lebih baik di masa hadapan. Walau pun ada salah faham antara kumpulan kami dengan mutawif yang celupar dan tidak cekap dalam mengendalikan urusan umrah, Alhamdulillah secara keseluruhan kembara berakhir dengan baik dan lancar. (Nota: kumpulan ni memang straight forward sebab terdapat lawyer, pensyarah kanan, peniaga, korporat, imam yang garang, konsultan, fotographer dan pentadbir). Semoga Allah memberkati, merahmati usaha-usaha kami dan mengampuni dosa-dosa kami.

Bagi yang belum pernah dan bercita-cita eloklah bersedia dari segi fizikal dan mental. Perlu fokus kepada tujuan ke tanah suci memandangkan tempat yang akan kita lalui adalah berbeza dengan negara kita sendiri samada dari segi penduduknya, budaya, pemikiran dan suasana. Mungkin perkara-perkara kecil akan menjadi besar dan menganggu konsentrasi tujuan sebenar kita ke tanah suci. Selama di Mekah dan Madinah kita banyak berinteraksi bukan sahaja dengan orang Arab tetapi dengan bangsa-bangsa lain seperti Bangladesh, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain rakyat negara miskin yang mempunyai mentaliti yang tidak sama dengan kita. Sesiapa yang baru pertama kali pergi eloklah ambil ingatan.

Kemampuan kewangan juga penting. Dengan perbelanjaan yang sesuai dengan kemampuan kita, mengikut logik fikiran setidak-tidaknya tentulah kita merasa lebih selesa dengan pakej yang lebih baik. Kalau pakej terlalu murah sedangkan kita mampu, mungkin kita merasa kurang selesa, terpaksa berkongsi dalam bilik hotel yang sempit, jauh dari masjid, makanan yang tidak menepati selera dan penerbangan yang melibatkan transit berjam-jam yang mungkin tidak sesuai untuk orang tua. Namun bergantung kepada individu, ada orang lebih suka berkongsi ramai-ramai kerana lagi meriah. Terpulang kepada objektif masing-masing. Kita pergi untuk beribadah bukan melancong.

Bagi mereka yang selalu menguruskan masa dengan baik ketika di Malaysia perlulah bersedia dengan masalah pengurusan masa, kelewatan dan sebagainya yang mungkin mengganggu emosi dan konsentrasi. Kena banyak bersabar. Ini pun salah satu ujian. Tetamu-tetamu lain juga ramai manakala servis yang diberikan bukanlah 5 Star kecuali bersedia membayar berlipat kali ganda. Itu pun belum tentu semuanya berjalan lancar. Ujian mungkin datang dalam pelbagai bentuk. Namun yang penting ingat balik tujuan ke Mekah. Selagi kita fokus dengan tujuan, Insya Allah kita akan merasa selesa.

Persediaan spiritual sebelum pergi juga penting. Kalau rajin dan berkesempatan, eloklah buat persediaan dengan bangun malam, beribadah dan berdoa agar dimudahkan segala urusan. Mungkin bagi mereka yang sentiasa rasa belum bersedia atau belum sampai seru, untuk Umrah dan Haji mungkin boleh baca buku yang simple “Travelog Haji” tulisan Prof Kamil. Buku ini tidaklah membicarakan tentang ibadah secara khusus tetapi lebih kepada pengalaman peribadi penulis namun niat, semangat dan kesungguhan untuk melakukan ibadah boleh menjadi iktibar dan pembakar semangat kepada bakal tetamu-tetamu Allah. Pada pendapat aku, kalau ingin ke sana, tetapkan sahaja tarikhnya, duit boleh dicari dan Insya Allah rezeki akan mencukupi, dan dengan bantuan Allah, halangan lain juga boleh diatasi. Siapa tahu Allah akan bagi ‘miracle’ kalau kita tetapkan tarikhnya dan bermohon kepadanya. Perkara-perkara lain akan dipermudahkan. Insya Allah.

No comments: