Friday, April 05, 2013

CERITA PASAL HONG KONG LAGI

Minggu lepas selepas balik dari Hong Kong, ada orang bertanya, aku kerja apa sebenarnya bila terjumpa artikel di bawah ini dalam Harian Metro. Ada juga yang bertanya sama ada aku dah bertukar dari Kementerian Kewangan. Jawapannya tidak. Aku masih di sini. Kalau dibenarkan memanglah ada hasrat untuk mencari pengalaman baru di tempat lain. Tapi buat masa ini status-quo lagi.


 Lonjak filem kita ke peringkat global

Jumlah itu turut menyaksikan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu dan lebih 6,000 pembeli dari pelbagai syarikat produksi dan stesen televisyen dari seluruh dunia hadir dalam program selama empat hari itu.

Untuk rekod, FILMART adalah pasaran utama bagi industri hiburan Asia dan tersenarai sebagai antara tiga acara sedemikian yang terbesar di dunia. Selain filem dan program televisyen, ia turut menawarkan produk animasi selain pameran peralatan produksi penerbitan filem dan siri televisyen.

Program anjuran anjuran Hong Kong Trade Development Council (HKTDC) itu turut menyaksikan penyertaan pertama kali dari Itali dan Kanada. Ia turut disertai Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Mexico, Korea Selatan, Jepun, China, Taiwan, India, Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura termasuk Malaysia.

Selain itu, ia turut disertai lebih 140 syarikat produksi dari China dan kumpulan media terkenal dunia, Al Jazeera yang berpusat dari Qatar pertama kali menyertainya.

Dalam pada itu, penyertaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam program itu turut disertai 12 syarikat produksi tempatan.

Ketua Delegasinya, Ahmad Suhaimi Endut berkata, pembabitan FINAS akan membantu syarikat produksi tempatan memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa terutama di rantau Asia Pasifik.

Katanya, FINAS yang menyertai HKFM sejak 2006 kali ini memfokuskan kepada produk membabitkan program TV berbanding filem sebelum ini.

"Delegasi tahun ini lebih menjurus kepada program TV termasuk animasi. Ia bukan setakat menjual produk mereka, tetapi lebih kepada pendedahan mengenai perkembangan teknologi dan kreativiti," katanya yang juga Ahli Perbadanan FINAS.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran dan Promosi FINAS, Abd Khalid Maulod dan Penolong Pengarah Pemasaran FINAS, Ahmad Syazli Muhd Khiar.

Dua belas syarikat produksi terbabit, Asia Tropical Films Sdn Bhd, Backbone Entertainment Sdn Bhd, Creative Media Point Sdn Bhd, Don Studio Sdn Bhd, FilmMecca Studio Sdn Bhd, Global Creative and Media Agency, Juita Entertainment Sdn Bhd, Mantap Sinergi Sdn Bhd, MM2 Entertainment Sdn Bhd, Pinewood Iskandar Malaysia Studio Sdn Bhd, Worldwide Rights Corporation Sdn Bhd dan Young Jump Animation Sdn Bhd.

Mereka banyak menghasilkan produk merangkumi penerbitan filem, siri TV, dokumentari dan animasi.

Ahmad Suhaimi berkata, penyertaan syarikat terbabit dalam HKFM adalah pendedahan yang sangat baik kerana ia menjanjikan pasaran yang lebih besar terutama di rantau Asia Pasifik.

"Penyertaan ini lebih kepada usaha mencari rangkaian pasaran. Inilah peluang untuk mereka memperkenalkan produk masing-masing ke pasaran dunia. Jika tak dapat jual pun, gunakan ia sebagai platform untuk mencari rangkaian pasaran," katanya.

Selain gerai pameran pelbagai syarikat produksi seluruh dunia, FILMART turut menjadi tumpuan pengunjung dengan kehadiran artis popular siri televisyen Hong Kong iaitu TVB.

Kehadiran pelakon TV Hong Kong seperti Sharon Chan, Moses Chan, Kenneth Ma, Tavia Yeung, Myolie Wu, Luiza Sam, Edwin Su, Lee Si Chi dan ramai lagi nyata menjadi tumpuan ramai khususnya pengunjung dari Hong Kong.

Selain itu turut diadakan ialah seminar, forum dan persidangan mengenai filem, drama dan animasi membabitkan pelbagai tokoh dari bidang berkaitan. Ini termasuk tayangan lebih 350 filem dari 80 negara di sepanjang program selama empat hari itu.

FILMART bantu syarikat produksi tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif Don Studio Sdn Bhd Saadon Ishak berkata, penyertaan syarikatnya dalam FILMART tahun ini akan digunakan sepenuhnya untuk memasarkan produknya iaitu dua siri animasi Dan Din Don dan Apak.

Saadon yang juga kartunis terkenal dengan nama Don bersama majalah Gila-Gila cukup dikenali dengan karakter ciptaannya di majalah itu pada tahun 80-an iaitu Dan Din Don, Apak, Pendekar Mata Tiga dan Profesor Serba Tau.

Don yang kini memberi tumpuan kepada pembikinan siri animasi berdasarkan karakter popular itu berkata, setakat ini kedua-dua siri animasi itu sudah mendapat perhatian syarikat dari Jepun dan Amerika Selatan yang berminat untuk menjadi pengedarnya.

"Walaupun belum ada sebarang pengesahan, tetapi mereka ada menunjukkan minat. Pembeli-pembeli dari benua Amerika kini berminat mencari produk dari Asia terutama yang bertemakan pendidikan dan moral," katanya.

Penerbit Eksekutif Filmmecca Studio, Khairul Anuar Latip berkata, penyertaan kali pertama syarikat itu ke FILMART amat berguna sebagai satu pendedahan bagi memperkenalkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

"Kita tidaklah meletakkan harapan tinggi memandangkan ini penyertaan kami yang pertama. Namun, peluang yang diberikan ini amat berguna untuk kami mencari rangkaian pasaran produk kami," katanya.

Filmmecca Studio bakal tampil dengan filem sulung mereka iaitu Psiko Pencuri Hati lakonan Bront Palarae, Sharifah Amani dan Syed Husein. Filem arahan Nam Ron itu dikatakan sudah mendapat perhatian wakil dari Festival Filem Venice yang berhasrat membawanya ke festival itu pada Ogos ini.

"Sepanjang mengikuti FILMART ini ada dua, tiga syarikat dari Eropah yang menunjukkan minat untuk memasarkan filem ini di negara mereka. Saya tidak meletakkan harapan tinggi tetapi saya positif kerana ia satu pendedahan amat berguna untuk kami," katanya.
 
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

No comments: