Thursday, December 22, 2011

HAYAT DAN PERGI TAK KEMBALI

Jangka hayat rakyat Malaysia adalah 77 tahun (wanita) dan 71.9 tahun bagi lelaki. Manakala Wanita Melayu adalah 75.3 tahun dan Lelaki Melayu 70.5 tahun.

Mak meninggal di usia 75 tahun 7 bulan atau bersamaan 75.6 tahun iaitu lebih sedikit daripada purata bagi wanita melayu. Bak (ayah) pulak dah mencecah 73 tahun, melepasi purata 70.5 tahun untuk lelaki. Untuk rakan-rakan yang masih mempunyai ibu dan ayah yang usia mereka hampir mencapai purata tersebut eloklah luangkan banyak masa dengan mereka. Elok ada quality time bersama sebelum berpisah untuk selama-lamanya.

Dalam tempoh sebulan ini aku dan adik beradik memang merasa kehilangan mak. Mungkin kenangan terakhir yang paling indah pada tahun 2011 adalah beraya bersama di Shah Alam. Dan waktu-waktu terakhir bersama di Kuantan adalah 2 minggu sebelum beliau pergi dan bercakap kali terakhir di telefon 4 hari sebelum beliau dipanggil Ilahi. Ketika itu, mak sihat dengan suara yang segar dan gembira mengajar Al Quran kepada pelajar-pelajarnya. Mak pergi dengan pantas tanpa menunjukkan tanda-tanda yang jelas. Pergi dengan tenang tanpa menyusahkan anak-anaknya. Itulah yang sentiasa mak mohon pada Ilahi.

Namun aku redha dengan ketentuanNya kerana sejak beberapa tahun yang lepas kami adik beradik telah pun meluangkan masa yang berkualiti bersama mak sama ada pulang ke kampung menziarah, bercuti bersama di Pulau Pinang, Terengganu, Port Dickson, Rompin, pergi umrah bersama, beraya 2 kali di rumah aku di Shah Alam termasuk meluangkan masa bersamanya di Hospital Damansara beberapa bulan yg lalu. Dengan sedikit rezeki dapat juga menyumbang bantuan kewangann kepadanya. Namun aku tahu, bukan wang ringgit yang utama, tetapi ingatan dan kasih sayang yang berpanjangan serta doa adalah yang paling penting buat seorang ibu. Semoga ingatan untuk mak terus kekal sepanjang hayatku.


0 comments: